Sunday, March 8, 2009

PANDUAN UNTUK MENGELAKKAN MASALAH GASTRIK

MENGELAKKAN MASALAH GASTRIK

Masalah gastrik boleh dilekkan dengan cara-cara berikut:

i) Kurangkan stres:

Kita hidup di dunia ini hanya sementara. Kita tidak kekal di sini. Akhirat jua tempat kekal kita. Oleh itu perjuangan untuk memenuhi tuntutan kerja-kerja untuk dunia ini harus ada batasnya, jangan sampai memakan diri kita. Kita perlu utamakan kesihatan diri kita. Jika kita tidak sihat, banyak perkara yang akan terganggu - pengurusan anak-anak akan terganggu, kerja-kerja tidak akan terganggu, hubungan dengan sanak-saudara dan jiran tetangga akan terganggu, hobi kita akan terganggu, kerja amal kita akan terganggu... banyak yang akan terganggu. Oleh itu berpada-padalah dalam membuat kerja harian kita.

Tugas yang diberikan kepada kita, kita lakukan sedaya kita memenuhi tuntutan yang wajib dalam peraturan pekerjaan. Tak perlulah diletakkan matlamat yang terlalu tinggi, yang tidak praktikal sehingga payah kita, rakan sejawat kita dan orang-orang di bawah kita mengejarnya. Memadai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh peraturan kerja kita.

Jika kerja yang diberikan terlalu banyak, lihat kerja itu. Adakah betul kerja yang diberikan itu benar-benar dalam bidang tugas kita. Jika betul dalam bidang tugas kita, cuba buat satu persatu. Jika terlalu banyak, khasnya yang ada "date line" cuba dapatkan bantuan kawan-kawan yang rapat. Insyaa allah ada yang membantu. Jika didapati bukan tugas kita, sengaja ketua kita suka lambakkan kepada kita, mungkin kerana kita jenis orang yang "mudah kira", maka mudah kira kita itu ada hadnya, jangan sampai memakan diri sendiri. Diri kita lebih penting. Jika diri kita terganggu, banyak lagi yang akan terganggu....Berbincanglah dengan ketua anda, berterus terang, bertegas pada tempatnya tapi bukan bengis. Kita adalah kita, ada harga diri kita sendiri, jangan sampai dibuli. Keadaan ini kerap berlaku kepada kaum guru. Ada pengurusan sekolah yang suka melambakkan kerja kepada beberapa orang guru kerana mereka jenis yang "mudah kira", akhirnya kerja berlambak, penuh tangan, tak tahu nak pegang yang mana satu. Bawa kerja balik rumah. Sambil main dengan anak pun buat kerja lagi. Sambil sembang dengan suami pun buat kerja lagi. Diri dan keluarga kita adalah lebih penting. Janganlah sampai kita mengabaikan diri kita dan keluarga kita kerana kita menggutamakan kerja kita. Buat yang diwajibkan oleh peraturan kerja kita. Tak perlu letakkan matlamat yang terlalu iedal hingga menyusahkan diri dan keluarga kita. Mereka yang dipenuhi lambakan kerja perlu berbincang, berterus terang kepada pengurusan sekolah. Jika tidak mampu secara sendirian, boleh meminta bantuan badan kebajikan guru. Jika tidak boleh juga, mungkin boleh berbincang dengan wakil kesatuan sekerja yang behampiran, kalau-kalau boleh dibantu. Usah berdiam diri, gunakan saluran-saluran yang betul yang ada.

Pokoknya, untuk mengurangkan stres, cuba permudahkan sesuatu urusan. Permudah di sini bukan bermaksud membuat kerja sambil lewa, tetapi membuat sekadar yang diwajibkan oleh peraturan pekerjaan dan tidak meletakkan matlamat yang terlalu ideal hingga menyusahkan diri dan orang lain. Bila berhadapan dengan kerja yang banyak, tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan perlahan-lahan. Cuba siapkan kerja di pejabat / sekolah. Masa di rumah adalah untuk keluarga. Masa cuti contohnya cuti hujung minggu dan cuti awam, cuti sungguh-sungguh, tak usah ingat akan kerja.

Kerja adalah penting kerana ia adalah periuk nasi kita. Oleh itu lakukan dengan bersungguh seperti yang diwajibkan oleh peraturan pekerjaan kita. Diri kita juga penting, haknya juga perlu diberikan. Berilah yang sewajarnya kepada kerja, diri, keluarga dan persekitaran kita. Dunia kita kejar tapi jangan sampai terlupa hakikat kehidupan kita. Akhirat jua kembali kita.

Ditulis oleh seorang yang pernah mengalami masalah stres sehingga mengalami masalah gastrik yang serius.

Saturday, March 7, 2009

GASTRIK: APA DAN PUNCA

APAKAH DIA GASTRIK

Gastrik adalah suatu keadaan di mana sistem penghadaman mengalami masalah berlebihan asid. Apabila wujud berlebihan asid dalam sistem penghadaman akan wujuk keadaan seperti pedih perut, sakit ulu hati (kawasan pusat), senak peruk, kembung dan sebagainya.

PUNCA GASTRIK:

Terdapat beberapa punca gastrik, antaranya:

1) STRES:
Stres memainkan peranan penting dalam menyebabkan gastrik. Apabila stres, lebihan asid akan dikeluarkan dan apabila asid itu keluar tanpa ada makanan di dalam perut, ini akan menyebabkan gangguan kepada dinding perut. Jika keadaan ini berlarutan dalam masa yang lama perut boleh menjadi tidak selesa, sakit, kembung, senak dan sebagainya. Jika terus dibiarkan ia boleh menyebabkan ulser di mana dinding perut menjadi nipis akibat dimakan asid.

Stres berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya:
a) Tidur lewat:
Tidur lewat untuk belajar, main game komputer, chatting, melayari internet, membuat kerja sekolah dan pejabat dan sebagainya.....Tidur lewat boleh menyebabkan stres kerana ia berlawanan dengan fitrah diri. Allah s.w.t. menjadikan malam untuk manusia berehat. Jika tidak direhatkan akan mewujudkan keadaan tegang pada saraf dan ini akan menyebabkan lebihan asid dikeluarkan ke dalam perut. Sebab itulah orang yang berjaga malam akan sering berasa lapar. Lebih buruk jika tidak melayani tuntutan perut untuk diisi walaupun berasa lapar.
b) Asyik:
Asyik boleh menyebkan stres kepada saraf walaupun tanpa disedari oleh seseorang. Dia hanya akan sedar setelah selasai keasyikannya itu. Sebagai contoh seseorang yang chatting untuk 2 atau tiga jam. Dalam keadaan merenung skrin komputer dan memberikan tumpuan kepada chatting telah menyebabkan stres kepada saraf mata dan saraf otak. Setelah dia menamatkan chattingnya seseorang itu biasanya berasa letih. Adakalanya dia berasa kembung perut yang tidak selesa akibat "masuk angin"
c) Belajar dan Kerja:
Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan belajar dan kerja hingga tidak sempat memberi ruang kepada rohani, emosi, fikiran dan tubuh badan untuk mendapat haknya masing-masing. Diri kita ada haknya dan secara natural dalam kehidupan insan jika sesuatu itu tidak didapati apabila diminta akan menyebabkan rasa tidak senang. Perut yang minta diisi apabila tiba masanya tetapi tidak dilayan permintaannya maka asid yang telah keluar itu akan mengganggu dinding perut.
d) Tekanan:
Tekanan boleh datang daripada beberapa sebab seperti:
i) Peristiwa sedih
ii) Geram dan marah
iii)Keadaan tidak gembira seperti tidak gembira dengan kursus yang diambil, tidak gembira dengan suasa kerja dan sebagainya.
iv) Tugasan belajar atau kerja yang terlalu banyak dan tidak dapat diuruskan dengan baik tugasan-tugasan itu.

Oleh itu berikanlah kepada diri haknya.